Rabu, 18 Ogos 2010

Sembang Sahur Bersama Bang Juna 2

Tipu lah kalau engkau semua tak pernah ada percanggahan pendapat dengan orang tua. Orang-orang tua selalu cakap. Aku makan garam dulu berbanding kau. Memang lah. Tapi tengok jugak garam apa yang dia makan dulu. Ada makan garam bukit? Tak ada kan?


Sama lah macam kita. Pemikiran orang-orang tua dulu tak boleh nak diselarikan dengan peredaran zaman sekarang. Dulu orang boleh cakap, "kau masuklah unibesti. Nescaya kau akan beroleh kerja yang elok." Tapi hal ini semua bergantung pada luck atau mungkin potensi, bakat dan kebolehan seseorang graduan itu. Luck? Ya nasib-nasib lain. Handsome, penemuduga suka. Kelakar, Puan Asmah suka. Anak saudara ketua cawangan, pegawai-pegawai kasi kerja. Ini semua nasib.


Ada jugak berpendapat. Makan gaji adalah jaminan kehidupan. Ada pulak yang berpendapat menceburkan diri dalam perniagaan masa depan tak tentu. Tapi bila ada rezeki sikit, baru lah sedar, " Ish.. ish..ish Seman tu bela antu raya agaknya!"-Pulak! Benda ni nasib. Dalam kehidupan panduan itu penting. Tapi harus bagaimana kita yang punya akal, rasa dan citarasa ini menilai input-input yang kita dapat.


Orang yang paling dekat adalah orang tua kita. Aku bukan lah nak ajak kau semua memberontak lawan mak bapak. Cuma kadang-kadang terfikir, akan ada satu-satu tempat nasihat-nasihat tu macam tak sesuai. Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai anak-anak mengadjustkan perkara berkenaan melalui perbincangan yang baik. Api lawannya air. Sesetengah orang tua ada yang kadang-kadang ketegaq. Keras. Kalau dia kata suruh buat A. Maka A lah sampai kiamat. Tak boleh adjust. Kalau melawan kurang ajar. Bila kurang ajar derhaka. Bila derhaka, apalagas? Masuk meraka.. Ya, aku saja eja meraka. Ini yang pening. Tipu la kau tak pening. Kau fikir kau selamat dari pening walaupun kau duta panadol? Porah!


Terfikir jugak, mesti ada yang jumpa pawang untuk adjust benda-benda macam gini. Selalu aku tengok tv, orang senang-senang je pergi jumpa pawang. Pawang pulak mesti pakai kain kuning lilit kepala. Kat rumah ada tengkorak dan lilin walaupun kerajaan telah memberi kemudahan air dan elektrik. Pengarah drama di sini nampaknya kurang pengalaman dalam mevisualkan pengamal perubatan tradisonal. Kan?

Isnin, 16 Ogos 2010

Sembang Sahur Bersama Bang Juna

Masa zaman berangan nak jadi penulis zine yang hebat dulu, aku dengan Amy memang rajin menulis surat. Kononnya. Lepas SPM dengan menggunakan duit simpanan sekolah yang tidak diusik berminggu-minggu nak pergi berkelana. Jadi back packers la konon pergi gig-gig di Semenanjung Malaysia. Jadi, dengan adanya sahabat pena. Aku tak payah sewa hotel atau tidur bersepah-sepah tepi jalan macam sesetengah kawan aku.


Tapi.


Semuanya tinggal harapan. Aku takde mood pun nak merayau-rayau. Kang mak aku bising pulak. Kalau tak balik dalam jangka masa 14 jam pun dah bising lagi lah kalau aku merayau sampai 14 hari. Apa nak jadi? Jadi, aku pendamkan je niat tu tunggu aku besar sikit.


Sampai hari ni pun. Aku masih suka cari kawan baru. Untuk bersembang-sembang. Berkongsi masalah. Kadang-kadang kawan-kawan yang menjadi tempat aku mengadu tu tak pernah aku jumpa pun. Hanya kenal di blog atau laman sosial lain. Tapi aku masih bersyukur kerana masih ada individu yang sudi nak dengar luahan pasrah hati aku ini dan aku juga masih lagi sedia mendengar serta berkongsi masalah bersama mereka.


Seperti di siri-siri gig pun. Adakalanya band yang main bukanlah menjadi keutamaan. Sebaliknya lebih kepada bertemu rakan-rakan yang ada setengah daripadanya menjadi tempat aku mengadu domba masalah (macam Dzul selalu cakap). Layan.


Walaubagaimanapun. Aku ni boleh jadi pendiam. Susah nak cakap. Dan kalau kena geng, mulut aku paling riuh dan kuat mencarut. Nada ini boleh berubah bila bertemu mat-mat skima. Pakcik-pakcik sejawat. Atau anak-anak didik aku.


Risau juga aku asik adjust-adjust personaliti ni. Kang tersalah adjust, masak. Siapa tak bimbang kalau terlepas mulut ketika bersembang dengan orang pangkat-pangkat besar? "Jadah ko!" - Ha, tak ke haru macam tu.


Kalau difikir-fikirkan balik. Hipokrit tu penting jugak sebenarnya. Untuk jaga periuk nasi. Kalau makan megi hari-hari mana boleh tahan. Pedih perut. Tak sedap tu lain cerita. Kita ni lagi banyak makan tak sedap berbanding yang sedap-sedap sebab susah nak makan sedap hari-hari. Lainlah kalau pendapatan pun sedap. Tapi besar periuk, besarlah crusty-nya!


Sebut pasal masalah periuk kita yang semakin sempit, aku sebenarnya cukup risau. Sanak saudara, anak-anak kawan, anak-anak saudara members, anak saudara teman wanita, anak-anak didik aku-yang mana rata-rata masih di bangku sekolah. Dalam gelak tawa dan khayal dengan konsol permainan mereka. Adakah mereka sedar zaman senang sekarang ni tak senang untuk hidup? Makin hari makin tersepit? Hati jadi pedih melihat mereka yang mempersia-siakan peluang dalam bidang akademik ni. Mereka yang ada kelulusan tinggi pun belum tentu dapat memperjudikan nasibnya dengan baik. Apatah lagi mereka yang tidak punya apa untuk digadaikan dalam hidup mereka? Ya ilmu kini dalam bentuk komoditi. Ditukar ganti dengan duit. Untuk meneruskan kehidupan.


Ilmu pelita hidup dan ilmu digunakan untuk panduan hidup?


Ah!

Selasa, 10 Ogos 2010

Penebat Emosi

Kurniaan paling terbesar dalam diri tidak lain tidak bukan adalah kesabaran dan ketabahan. Apa lagi yang paling bermakna selain dari dua kekuatan ini?


Kadang-kadang gua pernah fikir jauh. Apa akan jadi pada diri gua apabila sesuatu perkara berlaku atas gua? Gua cuak gua hilang pertimbangan. Tapi apabila perkara itu benar-benar terjadi-dan gua tenang menghadapi dugaan itu.


Itu anugerah.

Khamis, 5 Ogos 2010

Hai, Kuala Lumpur!

Lama betul aku tak merayau-rayau. Jadi aku ambil keputusan untuk berkelana. Tiga hari saja. Untuk buangkan sawang-sawang dalam kepala yang berserabut menghalang tumbesaran kreatif aku sekian lama.


Aku perlukan hilai tawa kawan-kawan. Aku rindukan bunyi ngilu Putra LRT menggesek rel. Aku berahikan bunyi mesin pengepam air di bawah rumah aku yang mana ia menyebabkan harga sewa bekas rumah sewa aku itu lebih murah berbanding rumah-rumah lain di sebelahnya.


Lama benar aku tak jenguk ke Kuala Lumpur. Sudah beribu jam aku tidak jenguk kampus lama aku. Ghairah aku untuk ke sana menendang-nendang dengan begitu miang sekali. Jadi aku gunakan segala masa yang ada sehingga aku kurang tidur untuk membuat penilaian mengenai kehidupan yang telah lama aku tinggal di kota besar itu.


Yang berambut sudah kurang rambutnya (hahaha, Hakim!). Yang kurus sudah buncit perutnya. Yang mengatakan perkahwinan awal kurang relevan telah menemui jalan bahagianya. Yang mewah dengan hasil kerjaya sudah pulang ke kampungnya. Dan, ada pula yang cantik semakin cantik!-maaf. Kecantikan bukan segalanya.


Untuk trip kali ini, ia lebih sekadar lawatan sosial menjenguk rakan-rakan lama yang masih tidak mengalah meneruskan kehidupan di sekitar Ibukota walaupun pada asalnya aku mahu mengambil helaian transkrip di Tanjong Malim. Mungkin trip seterusnya aku akan melihat dari sudut lain. Seni misalnya. Bunyian. Visual. Atau catan. Aku bukanlah insan seni serba sensitif kepala angin yang obses dengan ekspresi diri dalam hasilan seni. Tapi aku cukup menghargai orang-orang yang terus menjadi hamba seni untuk mengimbangi sudut kehidupan urban yang penuh tekanan, seperti sedia maklum. Tanpa unsur seni, aku percaya. Kita semua tidak ubah seperti mesin aturan. Hanya ada 1, 2 dan 3. Tidak ada bunga atau helai-helai daun yang menghias indah di kiri kanan kehidupan.


Apa pun. Terima kasih pada yang mengisi masa (dan perut!) aku pada 3 hari yang lalu.