Isnin, 31 Oktober 2011

Seraut wajah syurga bayangan tepat ke neraka

Lelaki.

Berkopiah. Berserban. Berjubah. Berbau haruman bebas alkohol. Tasbih sentiasa di dalam kocek. Solat lima waktu tepat pada waktu dan berjemaah. Berpuasa sunat. Melakukan amalan-amalan sunnah. Menyukai warna hijau. Berjanggut. Berdahi lebam. Berseluar senteng atas buku lali. Sinonim dengan perjuangan parti yang lebih kepada keagamaan.


Perempuan.

Bertudung labuh. Menutup aurat. Adakalanya berpurdah. Berjubah besar. Longgar. Labuh. Kalau student universiti, akan sentiasa menyarungkan jaket hitam yang berslogan ke arah kebaikan. Berstokin hitam. Bertshirt labuh dengan tulisan 'iman inside'. Sinonim dengan perjuangan parti keagamaan. Hebat bercakap soal pahala dan dosa. Sering menegur orang sekeliling yang melakukan mungkar dan dosa yang kecil mahupun besar. Teguran secara tepat ke muka biasanya.



Dua ikon ini. Apabila digabungkan dengan ciri di bawah, seperti:-



Bercakap kasar. Menengking-nengking pada hal yang kecil. Mengumpat. Menceritakan keburukan orang lain dan menghebah-hebahkannya. Bercakap soal perjuangan tapi lidah sering basah dengan carutan, makian lengkap dengan nada lantang. Memaksa. Kedekut. Tidak menghormati orang lain. Benci dengan kaum lain. Tidak menghormati agama orang lain. Mencerca. Mengeji. Memaki hamun.



Kau fikir aku boleh hormat orang macam ni?


Kirim salam.

Sabtu, 29 Oktober 2011

Kuda Ku Lari Gagah Berani


(nama mesin ni 4g93)

Pada umur aku 13 tahun, aku dah mula berangan untuk memiliki kereta sendiri. Tapi aku rasa aku sedikit bijak masa tu. Aku tak pernah mengimpikan kereta mewah dan diluar jangkaan untuk dimiliki. Kerana aku sedar. Siapalah batang hidung penyekku ini untuk memiliki kereta begitu. Realiti kehidupan sebenarnya adalah terlalu perit untuk mengiringi impian. Kena realistik.

Jadi aku hanya berharap untuk memakai jentera buatan tempatan. Memang aku genggam impian aku itu. Aku tak peduli cakap sesiapa akan pilihan kenderaan yang bakal melindung aku dari hujan dan panas sepanjang perjalanan aku nanti. Jadi aku pilih kenderaan ini tatkala usia aku berumur 27 tahun. Kalau direnung kembali 13 tahun dahulu kenderaan ini hampir mustahil untuk dimiliki jika kita lihat harganya yang mencecah lebih 70K. Namun masa terus berlalu. Sedangkan yang muda akan berkedut wajahnya, apatah lagi harga kereta. Pasti merosot. Jadi ini peluang aku untuk menunaikan impian zaman sekolah aku. Walau dibebel orang-orang tertentu, aku buat pekak telinga. Dan berusaha memiliki apa yang aku idamkan walaupun telah 14 tahun berlalu.


Mak aku selalu mengelak untuk naik kereta aku bila dipelawa haha. Kalau tak kerana terpaksa jarang dia nak naik kereta aku. Tapi aku faham. Kereta aku tak cukup pintu. Nak pakai cepat gamaknya sampai pintu belakang tak terbikin haha. Yelah ekzos pun bising bunyi vraum-vraum. Lepas tu spring keras. Ada lekuk sikit mula eik-ouk eik-ouk. Semalam dia cakap sebelum ni dia sakit pinggang naik kereta aku. Itupun lepas aku bikin spring/absorber baru dia cakap. Kalau dia cakap awal-awal dah lama aku tukar setting kepada bentuk mesra keluarga dan sopan santan.


Bila ada duit lebih sikit-sikit aku repair bagi sedap bila orang naik kereta aku. Tak la dalam hati memaki hamun. Sekarang dah okey sikit kot rasanya. Timing belt dah ganti. Absorber/spring pun dah standard-standard aje. Kadang-kadang bising jugak buah hati aku. Asyik kerja repair kereta je. Tak apa lah. Bagi selesa orang-orang yang aku sayang. Untuk dia jugak, hehehe.. Nanti ada duit lebih lagi, kita beli kereta baru ye Yang? Share bayar bulan-bulan. AHAHA.


Bila kenang-kenang balik, ada juga baiknya aku pakai kereta terpakai ni. Banyak aspek teknikal yang aku belajar walaupun praktikalnya aku tak berapa nak tau. Tapi sekurang-kurangnya aku belajar dan ambil kisah. Tapi aku tak lah mengisah sangat sampai terfikir nak melajukan kereta aku ni. Asal selamat sampai destinasi, enjin selesa dan comel sikit-sikit okeylah tu. Nak laju-laju pun nak ke mana. Stail datang kerja ngam-ngam masa amaran macam aku jarang perah throttle sampai 100 km/j. Rilek-rilek je.. Hari-hari jalan jauh. Lebih 60 km untuk perjalanan pergi dan balik. Layan lagu hardcore sambil bukak tingkap dan melalak kuat adalah sikap yang tak boleh ditegah dari dalam diri ini. Ia semulajadi.


Aku sedar. Dalam usaha aku memastikan kenderaan aku dalam keadaan sihat wal-afiat, aku berhadapan dengan risiko hasil seni insan-insan art yang independen di sekitar tempat kerja aku. Mereka kerap berkeliaran di kawasan tempat kerja aku.


Maksud aku.


Mereka-mereka yang sering melakukan lakaran-lakaran abstrak yang kekal pada dinding-dinding kereta. Terutama kereta-kereta yang dimiliki golongan pendidik.

Sabtu, 22 Oktober 2011

Gerobok Kita

Link
Aku jarang jenguk blog ini sebenarnya. Sejak aku pulang ke kampung. Berhenti dari mengembara. Dari satu negeri ke satu negeri. Aku sudah tidak begitu mengisah di Bayu Senja Di Selatan. Sebaliknya aku tumpukan pada blog aku yang satu lagi.

Gerobok Kita.


Gerobok Kita diusahakan secara senyap-senyap. Pada mulanya hanya diketahui beberapa orang rakan sahaja. Bergerak secara sembunyi-sembunyi. Ramai dikalangan kawan-kawan bloggers tidak tahu akan kewujudan blog yang satu lagi ini.


Aku menganggap blog Gerobok Kita sebagai satu almari online aku. Yang mana ada isi-isinya ialah baju bundle, pakaian dan aksesori terpakai yang aku kongsikan dengan kawan-kawan maya dan kawan yang ada disekeliling aku. Aku sering menggunakan bahasa diri 'kami' di sini kerana di sini jugalah rakan-rakan rapat aku mengiklankan barangan mereka untuk didagangkan. Apa yang pasti, di sini tiada produk baru. Semuanya terpakai. Dari baju, seluar, topi, beg hinggalah ke alatan elektrik.


Aku tidak memborong. Kebanyakan koleksi adalah milik aku. Namun, ada peniaga yang selalu nampak muka pasar aku ni mundar mandir tiap-tiap minggu di tempat aku mencari barang telah baik hati memberikan aku harga terbaik sebagai peniaga online, cewah. Kenyataannya, almari /gerobok aku di rumah pun sudah tidak mampu menampung beban baju dan seluar aku sampai melengkung lantai almari aku dibuatnya. Jadi, aku berinisiatif untuk jual saja koleksi-koleksi aku agar terus dipakai oleh orang ramai kerana kebanyakan koleksi aku kemungkinan ada nilainya. Aku gemar memiliki baju-baju band, filem dan jenama-jenama tertentu. Jadi, sayang rasanya kalau dibuang begitu sahaja sekiranya baju tu dah tak muat atau aku dah tak terlayan (dah tak terpakai) lagi. Ada baiknya aku tolak sahaja pada yang berminat.


Rata-rata, harga yang tertulis bukanlah harga yang mahu aku letakkan. Aku sangat terbuka sekiranya ada yang hendak menawarkan harga. Tapi berpada-padalah. Adakalanya harga yang diminta tak masuk akal langsung. Antara masalah lain yang aku hadapi ialah mereka yang suka booking tapi tak jadi beli. Senyap sepi bagaikan alam yang mendamaikan. Dah bagi harga murah. Dah bagi nombor akaun. Dah setuju. Dah ada akad jual beli. Namun senyap...sunyi. Mendamaikan. Hanya kedengaran bunyi unggas dan cengkerik di malam hari. Hal ini menjadi lebih rumit bila ada dua tiga orang yang meminati barang berkenaan tapi disebabkan mereka yang dah booking ni tadi terpaksalah aku menolak permintaan orang lain untuk memiliki barang aku dengan alasan dah ada orang booking tapi last-last kesepian melanda. Adui. Sabar je lah. Ini dugaan. Baru sikit. Steady saja. Ha ha ha.


Hasil jualan tidaklah seberapa. Belum pernah lagi aku dengar budak berniaga bundle dah pakai Alphard hatta Toyota Avanza pun tak pernah lagi. Namun memadailah untuk aku meneruskan survival Gerobok Kita untuk terus berkongsi minat dengan masyarakat luar. Dapatlah aku gantikan barang-barang di dalam blog ini dengan barang yang lain.


Apapun, aku harap dapatlah memiliki beberapa buah butik pakaian terpakai di shopping complex macam Buntil tu. Aku dengar owner dia merantau ke luar negara cari barang. Tak heranlah kalau barang dia sangat rare dan berkualiti. Sepadan dengan harga dia yang boleh menyebabkan hampir pengsan.Tapi macam mana nak jadi macam tu, sebab aku ni kacang. Ye kacang? Pernah dengar statement ni?


"Kenapa mudah kacang lupakan kulit?"


Kalau tak paham jugak pergi tanya ptptn.

Khamis, 20 Oktober 2011

Kadang-kadang kita perlu cermin ajaib..

" Iye, saya nampak Sarah kiss bibir pakwe dia ari tu, " Safik beriya cerita dengan aku.

Jadi aku panggil Sarah ke depan.


"Sarah kau kiss bibir boyfriend kau ye? Safik cakap dengan aku tadi."


"A'ah. Habis tu, dah sayang kan?"


Aku tersentap. Satu pengakuan berani. Seorang anak gadis di depan gurunya pada usia lewat 20-an, yang jugak pendengar tegar muzik keras. Memang nak kena dia ni. Aku mula ketap bibir. Cari dan susun ayat untuk aku beri sedikit tazkirah kepada anak gadis yang baru nak up ni.


Kejap.


Aku semak fail-fail kehidupan aku untuk dijadikan rujukan rujukan. Hmmm... bzzztt bzzzt bzzztt... Ok. Tak apa. Tak ada yang sesuai untuk dijadikan tauladan.

"Macam ni la Sarah. Kau jangan buat benda-benda tak elok. Aku tak suka. Dah pergi duduk. Aku nak tanda kertas periksa ni."


"Ok bos. Thanks!"


Aku terus cari pengasah pensil yang ada cermin. Renung dalam-dalam ke arah cermin tu.


Hmmmm....

Gurau Kasar

"Mak lapar la Long.."

"Apa dia, Mak?"

"Mak belum makan lagi ni.."

"Itu Mak punya pasal aku tak masuk campur."



Haha. Itu gurau kasar aku dengan mak aku. Kau jangan buat dengan mak kau kalau mak kau tak biasa dengan situasi ni.

Rabu, 5 Oktober 2011

Kata Hari Ini bahagian 6

"Aku kalau diberi pilihan pilih wakil rakyat, biar wakil rakyat tu korup asalkan Islam. Daripada yang kafir tapi jujur.." - member wa.



Bravo.