Ahad, 3 Oktober 2010

Teras Keras Emosional

Aku manusia yang tak mampu menyorokkan wajah bila dilanda masalah dan tekanan. Walaupun aku rasa aku dah senyum selebar 5 kilometer, ada orang-orang yang mampu melihat ada sesuatu dari raut wajah aku. Ceria yang mungkin dibuat-buat.


Rakan-rakan aku terutama yang berkongsi bantal dan tilam sepanjang aku di Kuala Lumpur dan mereka yang membesar dengan aku juga amat memahami pola perasaan dan ekspresi aku. Jangan dilupa. Orang-orang yang berkongsi kasih, rasa dan sayang pun turut berkongsi pendapat yang sama. Perbuatan dan geri aku jarang sekali dapat menyembunyikan gundah gulana di hati. Kadang-kadang jadi menggelabah. Kadang-kadang boleh jadi cuai.


Sekarang.


Aku rasa bertuah. Sangat bersyukur. Si dia bersungguh-sungguh mahu aku berubah. Tak mahu aku membawa masalah ini ke mana-mana. Malah dia seperti mahu membuat satu kotak-kotak khas untuk setiap permasalahan agar tidak bercampur aduk dengan perkara yang lain. Nampak sangat otak aku seperti sebuah meja yang terlalu penuh dengan bahan bacaan dan dokumen penting yang tidak disusun dengan praktikal.


Aku tahu kesan jangka panjangnya tidak elok. Aku harus tekadkan diri berfikiran lebih positif. Lebih rasional berbanding mementingkan emosional. Ini bukan perkara yang mudah. Sokongan dari individu-individu seperti ini amat membantu agar perjalanan kehidupan aku lebih lancar.



Dalam pada itu, lain benar rasanya perhubungan antara dua jantina pada usia ini. Bukan lagi permasalahan ke anak-anakan seperti kecurangan, kecemburuan buta, kongkongan melampau yang menjadi topik. Tetapi ia lebih kepada pembentukan diri, pengukuhan semangat dan perkongsian cita-cita selain dari memupuk persefahaman dalam melalui perhubungan ini sehari-hari.


Sungguh.

Aku banyak belajar sesuatu dalam kehidupan hari ini. Walaupun sudah kembali mengajar sebenarnya masih banyak yang aku perlu pelajari. Terutamanya dalam mengenali diri sendiri dan pentingnya menjaga hati dan perasaan manusia lain.


Mungkin dulu aku terlalu ego mempertahankan prinsip yang aku juangkan tanpa memikirkan persekitaran realiti kehidupan aku. Akhirnya aku sukar mengadaptasi sesuatu suasana baru. Aku gah mempertahankan apa yang aku percayai tanpa kompromi.


Namun aku sedar. Apa yang kita impikan kadang-kadang terhalang dengan realiti persekitaran kehidupan dan kita haruslah kuat untuk menerima apa yang ada ini seadaanya.


Sebenarnya aku ingin mengucapkan kepada diri aku sendiri,


"Bersyukurlah."

Sabtu, 2 Oktober 2010

Lanjutan

Akhirnya.


Aku kembali ke sini. Tanah Selatan. Tinggal lagi bersama kedua orang tua. Nampaknya aku tak lagi merantau. Meneruskan kehidupan di ceruk kampung sunyi. Lagi terpencil.


Aku masih bertuah. Masih mempunyai sisa-sisa rakan. Yang masih boleh mewarnai kehidupan aku.


Selebihnya. Kita nantikan saja.

Rabu, 29 September 2010

Runtuhnya Benteng Anarki dari Dalam Diri

Setelah masa pahit ditelan
aku langkah juga ke dunia baru
kentalan hati dan kerangupan sayur
bukan lagi prioriti diri



Kini aku bukan lagi manusia
yang mencari arah surau di Pasar Seni



atau



Menjerit lantang dan berbangga diri
kerana tidak mendaftar mengundi



atau



Selalu tersenyum
menyindir para politikus



dan mulai kini dan selamanya,



Aku isytiharkan benteng Anarki dalam diri
sudah teroboh sendiri
diroboh jentolak etika kerja
dan ketundukkan kepada pengetua!


oleh si teman,
Danielle Corleone

Jumaat, 17 September 2010

One more time, please lah. Engkau ni pun..ah!

Mana kan ada perhubungan yang tak dilanda badai
Sedang laut pun bergelora inikan pula hati manusia

Terguris luka calar berdarah
Setia kasih sayang tak sudah

kasih itu umpama lelayang
tali ku hulur bebas melayang
Jangan kasih tinggalku seorang
cemburu itu tautan sayang

Selasa, 14 September 2010

Lebar (bukan berkaitan dengan keluasan)

Sehingga raya ke lima, aku hanya beraya sebuah rumah. Itupun dalam ketidak sengajaan. Rumah kedua-dua belah nenek pun aku tak pergi, hehehe. Entah kenapa aku tak ada mood nak suka-suka beriya-iya di hari raya tahun ni. Tapi aku tengok adik aku orang yang paling meriah walaupun hanya ada dua t-shirt baru yang murah sahaja. Bab berjalan memang tak ingat. Kasut Onitsuka Tiger yang aku sayang-sayang tu pun dia gasak lanyak pergi air terjun. Haram. Lain pulak dengan aku. Duduk kat rumah je. Terbaring lesu. Tidur atas tikar bambu. Sejuk....


Boring bertambah-tambah bila banyak kedai untuk mengeteh yang masih tutup. Itu belum dikira gedung-gedung pakaian terpakai yang tak tau lah bila nak bukaknya. Ada tak ada aku duduk di rumah diam-diam sambil memakai seluar jeans yang aku baru beli. Aku pakai berhari-hari tak basuh sejak raya kedua. Tadi baru basuh. Saja nak hiburkan hati. Itu sahaja yang aku mampu beli untuk tahun ni. Okeylah tu. Layan saja.


Bezanya tahun ni aku ada teman. Itupun aku belum sempat nak beraya ke rumahnya. Aku ni pemalu. Tak pernah lagi aku beraya rumah gadis sorang-sorang. Elak aku pitam je la bila kena soal siasat. Pertama kali dalam kehidupan aku ada buah hati yang hantar munjung (bertukar-tukar ketupat, lodeh, sambal goreng dan lain-lain lagi) di rumah. Terharu jugak. Nampak tanda-tanda keseriusan kami dalam perhubungan. Ewah. Aku ni raya-raya pun nak bukak cerita emo.


Dalam pada tu, bila aku jenguk FB aku tengok ramai yang berasak-asak memuatnaik gambar raya. Dapatlah aku jenguk wajah-wajah kawan-kawan yang pernah rapat dengan aku dengan pakaian baru dan keluarga baru. Mana yang dah ada cahaya mata tu masing-masing tayang kecomelan anak masing-masing. Diorang dah tak datang beraya rumah aku sekarang ni. Sibuk dengan keluarga dan anak masing-masing. Jadi tahun ni memang tak ada kawan yang nak beraya rumah aku setakat ni.


Apapun yang paling seronok setakat ini adalah membedal biskut keju dan kerepek emping sambil melayan drama Bas Raya. Cerita tak kelakar pun boleh sedap kalau kena apa yang dikunyah dalam mulut!

Sabtu, 11 September 2010

730-230

Dah nak masuk kerja balik. Sekurang-kurangnya awal bulan depan aku dah nak kena bongkar seluar slack dan kemeja aku yang dah berhabuk tu. Kasut Zara telah aku repair baik punya. Habis dekat RM12 jugak aku repair kasut aku.

Aku sebenarnya cuak jugak.


Sebab.


Lebih banyak menggeledah pakaian terpakai berbanding menggeledah ilmu geografi!

Jumaat, 3 September 2010

Boleh tunjukkan saya cara berhari raya dengan betul?

Raya?


Biasa je. Tak ghairah pun. Sekadar bersyukur dengan apa adanya. Tak melebih-lebih. Ketika saat aku menulis ni aku cuma ada sepasang baju melayu baru yang masih belum siap dijahit. Kalau difikirkan balik ada ramai lagi diluar sana yang kesempitan. Aku jadi tenang dan rileks-rileks saja. Kita suka-suka bagai nak rak, bagi yang tak ada dan tak punya apa, apa ceritss?


Tapi tak tau la kenapa aku malas nak beraya-beraya ni. Kadang-kadang kena paksa dengan kawan atau keluarga baru lah aku nak keluar beraya.


Tapi aku ingat tahun ini aku nak buat kelainan sikit lah.
Ingat nak main bunga api yang kaler-kaler meriah macam hari kebangsaan punya tu.


Agak-agak boleh datang mood beraya macam zaman kanak-kanak dulu tak?