Maro adalah adik tiri kepada kawan aku yang juga pernah sama-sama bercita-cita nak buat kugiran sewaktu ketika dulu. Sebagai adik tiri kawan karib aku, aku tak ada masalah nak berkawan dengan dia walaupun tak serapat mana. Apatah lagi dia juga merupakan klik-klik skuter pekan ketika dulu. Itupun sebelum dia melanjutkan pelajaran di sebuah intitusi pengajian tinggi awam.
Bila sesekali berjumpa mesti banyak yang disembangkan. Tapi bila hujung minggu, takkan nak lepak pekan kot? Jadi aku, Maro, Zol dan Daud berangkat ke bandar untuk mencari tempat bersantai disamping memburu wi-fi percuma. Ya, bersiar-siar sambil membawa komputer riba nampak seperti ahli perniagaaan e-dagang yang paling sibuk dan berjaya mencapai sasaran jualan.
Selepas beberapa minit pertemuan di pekan, kami memutuskan untuk bergerak ke bandar dengan menggunakan kereta Maro sahaja. Aku terus mengambil keputusan untuk memulangkan kereta aku di rumah dan Maro akan menjemput aku di rumah terus ke bandar.
Setelah beberapa minit aku memarkir kereta di rumah, kereta Maro pun tiba. Aku pun meluru masuk ke dalam kereta dengan diperhatikan mak dari dalam rumah. Belum sempat kereta Maro keluar dari kampung aku, ada satu biji motor sudah melintang tengah jalan. Step-step blocking ala gangster kampung dalam tv. Aku juga dapat melihat dengan jelas beberapa sosok orang kampung yang aku kenali. Kereta yang kami naiki ditahan oleh orang kampung aku sendiri. Kawan-kawan aku seperti biasa, tenang. Ini bukan perkara aneh bagi kawan-kawan aku, terutamanya bagi yang kerap bertandang ke rumah aku dan bermain gitar menyanyi terpekik-pekik hingga dinihari di anjung rumah ketika mula-mula ayah membina rumah di sini dahulu iaitu sekitar hujung tahun 2003.
Lokasi kami ditahan adalah dihadapan sebuah rumah anak gadis yang sedang diserang penyakit misteri. Ia dikatakan kerana perbuatan salah satu teman lelakinya. Berapa orang teman lelakinya aku tak tau. Apa yang aku tau, memang bukan seorang. Salah seorang darinya adalah Maro sendiri. Itu cerita lama. Sekitar tahun 2005 tak silap aku. Ketika kami ditahan, si gadis sedang diubati oleh seorang pawang. Kami telah disiasat seketika. Mahu ke mana? Dari mana? Ada apa? Itu semua adalah soalan yang diajukan. Tetapi bukan pada aku. Sebaliknya kepada teman-teman aku. Sapaan aku tak dijawab. Bila aku angkat tangan, orang-orang kampung tak ambil peduli. Aneh. Beberapa minit kemudian, kami dilepaskan tanpa ada sebarang aksi kungfu hardcore seperti di gig-gig MYHC mahupun aksi mabuk kuda kepang.
Setiba di bandar segala-galanya berjalan lancar. Kami berborak tentang isu semasa, tentang perkembangan rakan-rakan, komputer dan isu piawaian pengubahsuaian kenderaan persendirian. Yang pastinya, tiada isu-isu peribadi disentuh. Pukul 4 pagi aku sampai di rumah dengan selamat.
Keesokan harinya, aku disiasat lagi oleh Pak Tam. Ya, soalan yang hampir sama. Semalam pergi mana? Dengan siapa? Pergi pukul berapa? Akhir sekali, siapa yang tahan kamu semalam?
Aku jadi tertanya-tanya apa maksudnya semua ini. Persoalan akhirnya terjawab. Maro disyaki menghantar ‘benda’ tak elok kepada bekas teman wanitanya. Aku pula dituduh bersekongkol dengan Maro. Menurut Pak Tam, ketika kami melewati rumah gadis terbabit, pawang tersebut telah ‘berlawan’ dengan ‘benda’ yang Maro hantar. Sedangkan Maro masih boleh memandu kereta, bercerita dengan waras dan relaks-relaks dengan aku minum air teh tarik serta bersembang ketika itu.
Tak taulah ia satu fakta yang betul atau tidak. Semoga Allah terus melindungi aku dan keluarga dari sebarang bahaya, gangguan dan syak wasangka.