Sabtu, 30 April 2011

Revolusi Sumpah Jali

Jali ingin berubah. Dia tak mahu lagi menjadi pembelit dengan urusan jual beli tanah dan jual beli kereta terpakai.


Jali bukan malas nak kerja. Tapi dia cuba mencari transformasi dalam hidupnya dengan melakukan pelbagai usaha bagi mewujudkan transisi tanpa mewujudkan transaksi yang melibatkan birokrasi.


Untuk itu.. Ya, Jali sudah dapat idea.


Menceburkan diri dalam scene pemilihan tampok pemerintahan di peringkat bawahan. Untuk itu dia perlu mengukuhkan skill pengucapannya bagi menambat hati sang pemimpin dan makhlok suruhan bawahan.


"Aku nampak sendiri YB Seman gigit leher Samsiah Lenggang di kedai Tauke Gan Der Wang pada 14 Mei tahun 2011 pukul 8.53 pagi dikala mendung berarak berlalu pergi! Inikah contoh dan tauladan yang harus kita contohi?!!" bukan main lagi Jali. Sampai tegang urat merihnya melaungkan revolusi penuh provokasi. Senget songkok tinggi lapan incinya pun dah tak dipedulikan lagi.


Tidak!!

Tidak!!

Jerit penduduk Kampung Nyamok Gemok beramai-ramai di dalam sebuah balai tani yang hampir rebah itu.


"Betul ke apa yang nampak ni Jali?" tanya Wisnu Hatim Sandung dengan penuh keraguan.


"Sumpah!"


"Sumpah!"


"Sumpah! Bukan main berselera lagi YB Seman gigit leher Samsiah Lenggang.. Macam meratah bubur ayam yang dicurah dengan serbuk lada hitam ala Mekdi!"


"Kau jangan main-main Jali!"- Degup hati Ucu Man selalu bekas pemeriksa kira-kira kampung itu mula 50-50.


"Sumpah!!"



"Sumpah aku tipu," kata Jali sambil tersenyum simpul. Selang beberapa minit dunianya jadi gelap.


*****


Malam itu, Jali menerima 15 jahitan di sekeliling tempurung kepalanya. Dia hanya mampu makan bubur dengan menggunakan straw.

1 ulasan:

cimon berkata...

buat lawak pon salah...tak rock larr pakcik2 kg tuh!!

hehehe (^v^)