Selasa, 4 Disember 2012

Hak Untuk Memilih adalah Hak Seorang Manusia Untuk Hidup

Manusia. Tak pernah lekang dari dikuasai. Maklum tahu, Tuhan maha kuasa. Tapi adat dunia. Manusia akan dikuasai manusia yang lain. Semuanya untuk survival. Untuk meneruskan kehidupan. Perlu untuk setiap manusia tahu akan batas dan garis sempadan hak masing-masing yang sebenarnya tidak sesiapa pun boleh mencampuri.

Menyentuh soal pentadbiran negara. Pada hari ini, sepatutnya minda masyarakat kita lebih matang. Lebih maju kehadapan. Sudah tiba masanya minda kita semua berubah untuk berfikiran lebih kritis berlandaskan fakta numerik, catatan sejarah atau bagi yang Islam; berlandaskan al-Quran dan hadis. Untuk itu bagi saya, proses pemilihan untuk menentukan pentadbiran satu-satu negara itu seharusnya dinilai pada hasil kerja dan kecekapan pengurusan pentadbiran itu sendiri. Selain dari itu, kita juga harus melihat kalau-kalau ada pihak yang cuba menawarkan satu bentuk pengurusan pentadbiran yang lebih baik. Kenapa tidak kita bertukar dan memilih sesuatu yang lebih baik untuk masa depan yang lebih cerah.

Berbuih mulut pung-pang-pung-pang bercerita mengenai peribadi seseorang dalam hal pengurusan dan pentadbiran dalam mana-mana organisasi adalah sesuatu yang membuang masa. Harus dipegang oleh semua peringkat masyarakat, tiada kunci lain selain dari sikap JUJUR dan AMANAH dalam menjalankan tugas.

Dua kunci ini, jika digenggam erat-erat, nescaya ianya akan mencambahkan nilai-nilai murni yang lain dalam pengurusan organisasi.

Tidak perlu unsur ugutan. Tidak perlu unsur hasutan. Tidak perlu retorik menakut-nakutkan. Ini semua akan membuatkan minda bertambah sempit. Hidup dalam kesengsaraan dan akhirnya akan terus-menerus hidup dalam sistem perhambaan. Brader, bekerja itu bukanlah perhambaan. Sebaliknya satu bentuk pengorganisasian secara kolektif dalam mencapai matlamat organisasi. Masa, tenaga, keupayaan dan kemahiran yang digunakan itulah ditukar ganti kepada bentuk gaji. Asasnya sama. Semua mahu meneruskan kehidupan.


Dan, saya amat pasti. Hidup bukanlah suatu paksaan.


2 ulasan:

FastRi berkata...

yang ini lain macam uslubnya. :P

cimon berkata...

Hak bermain hak kami!! (^_^)