Khamis, 5 Ogos 2010

Hai, Kuala Lumpur!

Lama betul aku tak merayau-rayau. Jadi aku ambil keputusan untuk berkelana. Tiga hari saja. Untuk buangkan sawang-sawang dalam kepala yang berserabut menghalang tumbesaran kreatif aku sekian lama.


Aku perlukan hilai tawa kawan-kawan. Aku rindukan bunyi ngilu Putra LRT menggesek rel. Aku berahikan bunyi mesin pengepam air di bawah rumah aku yang mana ia menyebabkan harga sewa bekas rumah sewa aku itu lebih murah berbanding rumah-rumah lain di sebelahnya.


Lama benar aku tak jenguk ke Kuala Lumpur. Sudah beribu jam aku tidak jenguk kampus lama aku. Ghairah aku untuk ke sana menendang-nendang dengan begitu miang sekali. Jadi aku gunakan segala masa yang ada sehingga aku kurang tidur untuk membuat penilaian mengenai kehidupan yang telah lama aku tinggal di kota besar itu.


Yang berambut sudah kurang rambutnya (hahaha, Hakim!). Yang kurus sudah buncit perutnya. Yang mengatakan perkahwinan awal kurang relevan telah menemui jalan bahagianya. Yang mewah dengan hasil kerjaya sudah pulang ke kampungnya. Dan, ada pula yang cantik semakin cantik!-maaf. Kecantikan bukan segalanya.


Untuk trip kali ini, ia lebih sekadar lawatan sosial menjenguk rakan-rakan lama yang masih tidak mengalah meneruskan kehidupan di sekitar Ibukota walaupun pada asalnya aku mahu mengambil helaian transkrip di Tanjong Malim. Mungkin trip seterusnya aku akan melihat dari sudut lain. Seni misalnya. Bunyian. Visual. Atau catan. Aku bukanlah insan seni serba sensitif kepala angin yang obses dengan ekspresi diri dalam hasilan seni. Tapi aku cukup menghargai orang-orang yang terus menjadi hamba seni untuk mengimbangi sudut kehidupan urban yang penuh tekanan, seperti sedia maklum. Tanpa unsur seni, aku percaya. Kita semua tidak ubah seperti mesin aturan. Hanya ada 1, 2 dan 3. Tidak ada bunga atau helai-helai daun yang menghias indah di kiri kanan kehidupan.


Apa pun. Terima kasih pada yang mengisi masa (dan perut!) aku pada 3 hari yang lalu.





1 ulasan:

cimon berkata...

ooo...mngutuk aku lg ek!

takpe...

p/s:ko pn da smakin bulat

p/s/s:dlm hati skrg da ade taman ek...nazri no.2!

heheh (^v^)

p/s/s/s:jgn lupe sms kalo dpt posting ke Kelate *peace*