Rabu, 28 Mei 2008

Siri Cerita Dalam Cerita 1

1) Kuasa Nama

Tengah hari beberapa minggu lepas memang mengundang kelemasan. Suhu panas menyebabkan aku rimas. Tekak mula cepat kering. Ini tak boleh jadi. Kalau tunggu lama-lama boleh menyebabkan aku menghempok monitor lusuh di pejabat.

Turun mencari kedai mamak. Keadaan sesak di kedai mamak menambahkan lagi perit di hati. Tapi mata aku terpana pada satu pemandangan indah. Sebiji cawan berisi cecair putih diserikan dengan lingkaran cecair coklat di dalamnya. Berais! Aku jadi tak keruan.


"Oi, mamak. Apa benda ni?"


"Mana? Ini ka? Kopi ais vanilla dangdut!!!!"


"Mak aiiii!!!"


Ini baru sepadan. Nama dan rupa seiring menawan. Sesiapa pun gagal dengan teruk sekali untuk menolak godaan kopi ini. Sayang. Aku tak minum kopi. Ini kalau muka cantik nama elok perangai hodoh hati busuk macam bangkai biawak Sungai Rengit, kau ingat aku peduli?


2) Bukan Tak Sudi


Image Hosted by ImageShack.us

Undangan bermain di satu persembahan di Pulau Pinang terpaksa aku tolak mentah-mentah. Terasa juga kasihan kepada mereka yang berhempas pulas dalam kugiran ini. Biarpun tugas aku sekadar pemain jemputan, aku sangat tidak bersedia untuk mengadakan persembahan dengan mereka. Baru dua tiga kali sesi latihan. Mana kan aku nak bersedia? Peluang yang baik sememangnya tak harus dilepaskan. Apatah lagi dikhabarkan persembahan kali ini bakal mendapat ole-ole.


Bagi aku bukanlah nilai ole-ole yang aku tekankan. Ia bergantung kepada kepuasan aku semata-mata. Sebenarnya aku belum boleh menyesuaikan diri pada kugiran yang baru aku sertai ini. Susunan muzik yang ringkas tapi sukar untuk aku tangkap. Aku sekurang-kurangnya memerlukan masa sebulan untuk satu bentuk permainan yang benar-benar memuaskan hati aku. Masih terdapat tempang dan kosong dalam beberapa ketukan aku.

Pada sesi yang lepas aku dibantu Am UTM. Latarbelakang asas rock yang kuat melegakan aku untuk penstrukturan lagu kali ini. Aku harap dalam sesi akan datang akan ada improvasi dalam permainan kami. Untuk satu pasukan muzikal yang 'layan' persefahaman amatlah penting. Semua harus yakin di hadapan khalayak nanti. Kegoyahan di beberapa bahagian yang dihadapi individu dalam skuad kugiran sememangnya mencemaskan. Apatah lagi memainkan lagu yang biasa didengari khalayak.

Ini sememangnya amat potong stim bagi aku. Aku sendiri biasanya tak dapat menyorokkan wajah ekspresi cuak ini bila membuat persembahan gara-gara malas buat homework. Muka akan jadi seperti mahu berhadapan pegawai agama semasa temuduga nak kahwin.

Kadang-kadang persediaan yang rapi pun belum tentu menjamin persembahan yang menarik. Dari pengalaman aku, kilauan cahaya kamera dan jeritan nama adalah perkara yang melemahkan semangat aku. Adakalanya aku kasihan dengan sang penyanyi ketika kami membuat persembahan. Terjerit-jerit sampai pecah kerongkong. Tapi kenapa lensa kamera asyik dihalakan kepada sang pengetuk gendang ini? Apa maknanya semua ini? Sila jawab dengan tepat atau aku merajuk lagi.


3) Salah ke?

Dalam sebuah bilik temuduga terdapat dua orang panel wanita yang memandang tepat ke arah aku. Seperti biasa, hati mana yang tak bergetar apabila dipandang sebegitu. Terasa diri seperti ditelanjangkan oleh mata mereka. Aww.

Soalan temuduga adakalanya tak sesusah mana. Tapi tak boleh dijangka. Tapi bagi seorang yang mempunyai suara yang lembut disamping susunan tatabahasa yang teratur dan indah, itu semua tak jadi masalah(poyo). Cuma riak wajah cuak yang aku tak boleh sembunyikan. Bila teringat peribahasa mat saleh yang mengatakan "semakin tinggi harapan kamu, semakin sakit kamu jatuh" aku jadi lebih relaks. Peluh kurang bercucuran.

Soalan lancar sekali aku jawab. Ada yang aku kelentong. Itu biasa. Aku dibenarkan keluar dari bilik temuduga beberapa minit selepas itu. Aku terus melangkah keluar.

"Er... nanti sekejap," tiba-tiba ahli panel menghalang aku keluar.

"Ya, Puan."

"Lain kali jangan bawak beg perempuan datang ke temuduga ya?"

Haram. Apa, tak cukup stylo ke beg aku ni?

Image Hosted by ImageShack.us





Dosa Senja

"Kenapa kau tak hadir di hari perkahwinan ku?" Tanya Praveitriana. Hiasan bunga kenanga di setiap celah tocang gagal sama sekali menyembunyikan perasaannya yang menjeruk. Muncung di bibir munggilnya seakan panjang sedepa. Pandangan mata dilempar sejauh mungkin dari wajah Rajunapurnamaveitra.

Rajunapurnamaveitra terkedu. Hembusan bayu senja tidak lagi mengujakannya. Nada suara yang didengar hari ini berbeza dengan hari-hari biasa pertemuan mereka. Akal berpusing-pusing menyusun ayat bagi sang puteri yang tercegat dihadapannya."Apa kau benar-benar ingin aku hadir di hari pertunangan mu?"

"Bukankah sudah lama kita bersama? Engkau seolah tak menghargai kehadiran aku dalam hidupmu. Engkau kejam."

"Bukan aku tak mahu memunculkan diri, sayang. Tapi aku amat berharap akan dirimu agar memahami perasaan aku."

"Apa lagi yang mahu aku fahami? Bertahun kita menyulam kasih. Tak cukup lagikah selama ini aku menyelami hati dan perasaan mu? Aku fikir kau jua begitu. Namun, engkau yang gagal memahami isi hati aku," desah Pravietriana diiringi juraian air mata yang berguguran dari kelopak mata. Deras mengalir membasahi pipi licinnya itu.

Rajunapurnamaveitra diburu perasaan bersalah. Apatah lagi melihat sang puteri merebahkan kepala di dada jantannya. Hujan air mata sang puteri menambahkan lagi sebak di hati. Rajunapurnamavietra tahu bahawa dirinya harus kuat menerima kenyataan. Dia tidak harus bermuram durja melayan lara. Tapi tidak untuk kali. Dia tak mampu terus-terusan bersandiwara. Mana mungkin kembang yang dipuja selama ini dimilik orang? Mana mungkin kaki ini kebal berdiri di hari persandingannya?

Bibir berkumis Rajunapurnamavietra didekatkan ke cuping telinga Pravietriana, "Sayang. Percayalah, kasihku takkan pernah luntur. Biarpun kau disunting orang, aku berjanji kan setia bersama mu. Takkan pernah aku tinggalkan mu."

"Janji?" Senyuman terukir di bbir Pravietriana. Matanya tepat memandang mata Rajunapurnamavietra. Tidak berkelip. Lantas tangan didakap pada tubuh jejaka.

"Janji."


.......Dan dua insan kini terus hanyut dalam noda remang senja. Selamanya. Ini rahsia.