Khamis, 14 Oktober 2010

Lesen Besar

Aku terbatuk kecil. Bila baca petikan ini.


Lebih kurang begini.


"Saya menyokong poligami. Apa salahnya bermadu? Lagipun di dalam Islam itu sendiri tidak menggalakkan perceraian. Sekiranya suami berlaku adil, saya rasa itu bukan masalah yang besar.'


Itu kenyataan Si Dia dalam sebuah majalah fesyen terbitan bulan lalu di mana kelihatan pendapatnya begitu kontra dengan responden yang lain. Tak hairanlah kalau gambarnya lebih besar berbanding responden lain dalam terbitan itu. Bukan main bergaya pulak tu. Konfiden! - Haha.


Dia menjeling aku, " bukan lesen besar, faham?"


Pulak! -hahaha..

Jumaat, 8 Oktober 2010

Pergi jahanam

Sebenarnya. Kalau kita fikir sangat apa orang cakap pasal kita. Satu hapah pun tak jadi. Hidup pun tak fun. Hanya menyakitkan hati. Bila hati sakit perasaan pun merana. Jadi apa gunanya?


Aku percaya kita semua lakukan apa yang wajar untuk diri kita. Jangan sesekali kita hindarkan unsur kemanusiaan. Itu pun sudah cukup baik. Kalau gagal cuba lagi. Kalau dihina usah peduli.


Selebih pergi lah mampus.


Memang itu lah kehidupan. Ada dengki mendengki. Ada iri hati. Ada keji mengeji. Mana ada kehidupan yang tenang tanpa gangguan manusia-manusia berperangai babi? Lakukanlah apa yang kau percaya. Jadi diri sendiri.


Selasa, 5 Oktober 2010

Cadang Cadang Menendang Tang! Tang!

Aku ada perkara misteri yang aku nak ketengahkan untuk tatapan umum. Waktu aku jadi pelajar sekolah dulu aku seorang pelajar pasif. Duduk diam. Perlahan. Perlahan dari pergerakan terutamanya. Minda perlahan, lain cerita. Haha. Mungkin kurang makan kismis. Tapi itu perlambangan aku yang memberontak sebenarnya. Cikgu suruh beratur aku jalan perlahan-lahan. Lesu.

Itu satu.

Yang kedua. Dari segi aspek fizikal. Aku akan mengantuk bila di dalam kelas. Dari zaman aku sekolah rendah ke sekolah menengah ke kampus. Sama sahaja. Aku tak tau kenapa perkara ini menghantui diri aku. Aku cuba tanamkan azam, minat dan semangat yang membara. Kalau semangat tu macam bara arang, aku rasa semangat tu boleh membakar 360 cucuk satay dalam masa dua jam-Sedapnya. Kena pulak dengan sambal kacang yang kow! Perh.. Tapi walaumacamanapun nak kena ada timun dengan bawang. Baru kencang!-Namun aku gagal mempertahankan maruah mata aku yang sememangnya telah tercalar sejak dulu lagi. Aku kadangkala tewas dek godaan hawa mengantuk yang seksi, ranum dan menggebu apatah lagi disogokkan dengan rasuah dari penyaman udara. Memang terbaik dari ladang kambing Wak Lan, Jambi Darat!


Aku fikir masalah ini tidak berlarutan sekadar permainan anak muda yang bergelumang dengan dunia akademika yang pada hemah aku yang tak suka berkhemah ni adakalanya seperti gagal menjadikan anak-anak mampu berfikir sendiri. Namun aku silap. Apabila aku jadi tenaga pengajar masalah tersebut mula menghantui diri aku kembali. Maruah mata ini sekali tercalar balar dengan 21 sebatan tanpa belas kasihan oleh rasa mengantuk gila baboon terutamanya di bilik berkumpulnya rakan sejawat. Dem!!!


Ironinya, balik rumah mata aku segar bugar bak perawan yang memekar berseri di pagi hari. Nampak netbook kecik aku lagi aku segar. Bila dapat guna internet terus hilang kemengantukan yang maha dahsyat berkenaan malah tahan tak tidur berjam-jam lamanya.


Masya Allah-hebatnya dugaan duniaaaaaaa!!!!!!


Yang paling tak best adalah mengantuk ketika memandu. Ini paling aku cuak. Sebenarnya insiden terlelap ketika memegang stereng kereta dah beberapa kali terjadi. Ini cukup bahaya. Aku tidak salahkan penyaman udara. Tapi setelah dikaji dengan saintifik dibantu dengan bomoh-bomoh hebat di dunia berserta dengan fakta statistik yang dibekalkan oleh Jabatan Statistik, aku percaya. Penyaman udara adalah penyumbang terbesar ke arah berkembangnya gejala mengantuk dikalangan pemandu yang akhirnya menjadi penyakit sosial dikalangan rakyat kita.


Aku mencadangkan di stereng kereta pada hari ini agar dibina satu peranti pancutan air segar dimana ia mempunyai sensor mengantuk yang akan berbunyi nyit!-nyit!-nyit!. Apabila dah berbunyi dengan segera satu pancutan air disembur ke muka pemandu. Baru lah segar. Kalau nak tukar air panas lagi bagus. Biar pemandu semua berwaspada elak mengantuk supaya muka tak melecur dipancut air panas.


Baiklah. Itu saja cadangan saya pada hari ini. Bertemu lagi pada hari dan waktu yang sama di minggu hadapan dalam rancangan,


"CADANG-CADANG MENENDANG TANG TANG!!"

Ahad, 3 Oktober 2010

Teras Keras Emosional

Aku manusia yang tak mampu menyorokkan wajah bila dilanda masalah dan tekanan. Walaupun aku rasa aku dah senyum selebar 5 kilometer, ada orang-orang yang mampu melihat ada sesuatu dari raut wajah aku. Ceria yang mungkin dibuat-buat.


Rakan-rakan aku terutama yang berkongsi bantal dan tilam sepanjang aku di Kuala Lumpur dan mereka yang membesar dengan aku juga amat memahami pola perasaan dan ekspresi aku. Jangan dilupa. Orang-orang yang berkongsi kasih, rasa dan sayang pun turut berkongsi pendapat yang sama. Perbuatan dan geri aku jarang sekali dapat menyembunyikan gundah gulana di hati. Kadang-kadang jadi menggelabah. Kadang-kadang boleh jadi cuai.


Sekarang.


Aku rasa bertuah. Sangat bersyukur. Si dia bersungguh-sungguh mahu aku berubah. Tak mahu aku membawa masalah ini ke mana-mana. Malah dia seperti mahu membuat satu kotak-kotak khas untuk setiap permasalahan agar tidak bercampur aduk dengan perkara yang lain. Nampak sangat otak aku seperti sebuah meja yang terlalu penuh dengan bahan bacaan dan dokumen penting yang tidak disusun dengan praktikal.


Aku tahu kesan jangka panjangnya tidak elok. Aku harus tekadkan diri berfikiran lebih positif. Lebih rasional berbanding mementingkan emosional. Ini bukan perkara yang mudah. Sokongan dari individu-individu seperti ini amat membantu agar perjalanan kehidupan aku lebih lancar.



Dalam pada itu, lain benar rasanya perhubungan antara dua jantina pada usia ini. Bukan lagi permasalahan ke anak-anakan seperti kecurangan, kecemburuan buta, kongkongan melampau yang menjadi topik. Tetapi ia lebih kepada pembentukan diri, pengukuhan semangat dan perkongsian cita-cita selain dari memupuk persefahaman dalam melalui perhubungan ini sehari-hari.


Sungguh.

Aku banyak belajar sesuatu dalam kehidupan hari ini. Walaupun sudah kembali mengajar sebenarnya masih banyak yang aku perlu pelajari. Terutamanya dalam mengenali diri sendiri dan pentingnya menjaga hati dan perasaan manusia lain.


Mungkin dulu aku terlalu ego mempertahankan prinsip yang aku juangkan tanpa memikirkan persekitaran realiti kehidupan aku. Akhirnya aku sukar mengadaptasi sesuatu suasana baru. Aku gah mempertahankan apa yang aku percayai tanpa kompromi.


Namun aku sedar. Apa yang kita impikan kadang-kadang terhalang dengan realiti persekitaran kehidupan dan kita haruslah kuat untuk menerima apa yang ada ini seadaanya.


Sebenarnya aku ingin mengucapkan kepada diri aku sendiri,


"Bersyukurlah."

Sabtu, 2 Oktober 2010

Lanjutan

Akhirnya.


Aku kembali ke sini. Tanah Selatan. Tinggal lagi bersama kedua orang tua. Nampaknya aku tak lagi merantau. Meneruskan kehidupan di ceruk kampung sunyi. Lagi terpencil.


Aku masih bertuah. Masih mempunyai sisa-sisa rakan. Yang masih boleh mewarnai kehidupan aku.


Selebihnya. Kita nantikan saja.