Sabtu, 30 April 2011

Revolusi Sumpah Jali

Jali ingin berubah. Dia tak mahu lagi menjadi pembelit dengan urusan jual beli tanah dan jual beli kereta terpakai.


Jali bukan malas nak kerja. Tapi dia cuba mencari transformasi dalam hidupnya dengan melakukan pelbagai usaha bagi mewujudkan transisi tanpa mewujudkan transaksi yang melibatkan birokrasi.


Untuk itu.. Ya, Jali sudah dapat idea.


Menceburkan diri dalam scene pemilihan tampok pemerintahan di peringkat bawahan. Untuk itu dia perlu mengukuhkan skill pengucapannya bagi menambat hati sang pemimpin dan makhlok suruhan bawahan.


"Aku nampak sendiri YB Seman gigit leher Samsiah Lenggang di kedai Tauke Gan Der Wang pada 14 Mei tahun 2011 pukul 8.53 pagi dikala mendung berarak berlalu pergi! Inikah contoh dan tauladan yang harus kita contohi?!!" bukan main lagi Jali. Sampai tegang urat merihnya melaungkan revolusi penuh provokasi. Senget songkok tinggi lapan incinya pun dah tak dipedulikan lagi.


Tidak!!

Tidak!!

Jerit penduduk Kampung Nyamok Gemok beramai-ramai di dalam sebuah balai tani yang hampir rebah itu.


"Betul ke apa yang nampak ni Jali?" tanya Wisnu Hatim Sandung dengan penuh keraguan.


"Sumpah!"


"Sumpah!"


"Sumpah! Bukan main berselera lagi YB Seman gigit leher Samsiah Lenggang.. Macam meratah bubur ayam yang dicurah dengan serbuk lada hitam ala Mekdi!"


"Kau jangan main-main Jali!"- Degup hati Ucu Man selalu bekas pemeriksa kira-kira kampung itu mula 50-50.


"Sumpah!!"



"Sumpah aku tipu," kata Jali sambil tersenyum simpul. Selang beberapa minit dunianya jadi gelap.


*****


Malam itu, Jali menerima 15 jahitan di sekeliling tempurung kepalanya. Dia hanya mampu makan bubur dengan menggunakan straw.

Khamis, 14 April 2011

Summum buqmum umyun fahum layuqminun

Ah. Sudah.

Dia dah dekat. Hati Jali terdetik. Berdebar-debar. Dadanya tak senang.


Jali cepat-cepat membaca doa. Yang biasa digunakan untuk menghalau binatang buas.


Summum Buqmum Umyun Fahum Layuqminun.


Semakin hampir.

Hampir.

Hampir.

Makin dekat.

Sampai kepada Jali.


Jali menegur hidupan itu dengan nada penuh ketakutan. Bukan penghormatan.


"Puan....."


Teguran Jali tak disahut. Dia berlalu pergi. Dan tidak memaki Jali.





Itu kisah bos Jali.....

Sabtu, 9 April 2011

Sucinya Darah Sebuah Dendam

Pemikiran Hamid sudah tidak konsisten.

Di matanya terbayang parang di sana. Tajam dan kilat. Berkilau persis mutiara dari lautan yang paling dalam. Mata parang itu terlalu keji sekiranya dibiarkan begitu sahaja.

Hatinya berkata.

Apa kata aku tambahkan keindahan mata parang ini dengan lumuran darah dendam yang lahir dari hati yang penuh kebencian?

Dia sarungkan sepatu hitam kainnya dan memulas pendikit motosikal menuju ke tempat itu. Sebuah bilik berhawa dingin dan bertingkap gelap bagi menghalang sinaran ultraungu dari menembusi bilik sial itu.

Assalamualaikum.

Salam diberi. Senyuman dihulur. Parang dihayun. Darah memancut. Dendam pun gugur!

Prosa Neraka

Propaganda propaganda propaganda
tusuk tembus dalam jiwa
kotor media agenda sang wira
perkasalah segala tipu daya

Bangsat diri dilambung puji
sakti diri bebas digari
celaka umat kerna si tua
menyembah dusta agung lah bangsa