Ahad, 3 Oktober 2010

Teras Keras Emosional

Aku manusia yang tak mampu menyorokkan wajah bila dilanda masalah dan tekanan. Walaupun aku rasa aku dah senyum selebar 5 kilometer, ada orang-orang yang mampu melihat ada sesuatu dari raut wajah aku. Ceria yang mungkin dibuat-buat.


Rakan-rakan aku terutama yang berkongsi bantal dan tilam sepanjang aku di Kuala Lumpur dan mereka yang membesar dengan aku juga amat memahami pola perasaan dan ekspresi aku. Jangan dilupa. Orang-orang yang berkongsi kasih, rasa dan sayang pun turut berkongsi pendapat yang sama. Perbuatan dan geri aku jarang sekali dapat menyembunyikan gundah gulana di hati. Kadang-kadang jadi menggelabah. Kadang-kadang boleh jadi cuai.


Sekarang.


Aku rasa bertuah. Sangat bersyukur. Si dia bersungguh-sungguh mahu aku berubah. Tak mahu aku membawa masalah ini ke mana-mana. Malah dia seperti mahu membuat satu kotak-kotak khas untuk setiap permasalahan agar tidak bercampur aduk dengan perkara yang lain. Nampak sangat otak aku seperti sebuah meja yang terlalu penuh dengan bahan bacaan dan dokumen penting yang tidak disusun dengan praktikal.


Aku tahu kesan jangka panjangnya tidak elok. Aku harus tekadkan diri berfikiran lebih positif. Lebih rasional berbanding mementingkan emosional. Ini bukan perkara yang mudah. Sokongan dari individu-individu seperti ini amat membantu agar perjalanan kehidupan aku lebih lancar.



Dalam pada itu, lain benar rasanya perhubungan antara dua jantina pada usia ini. Bukan lagi permasalahan ke anak-anakan seperti kecurangan, kecemburuan buta, kongkongan melampau yang menjadi topik. Tetapi ia lebih kepada pembentukan diri, pengukuhan semangat dan perkongsian cita-cita selain dari memupuk persefahaman dalam melalui perhubungan ini sehari-hari.


Sungguh.

Aku banyak belajar sesuatu dalam kehidupan hari ini. Walaupun sudah kembali mengajar sebenarnya masih banyak yang aku perlu pelajari. Terutamanya dalam mengenali diri sendiri dan pentingnya menjaga hati dan perasaan manusia lain.


Mungkin dulu aku terlalu ego mempertahankan prinsip yang aku juangkan tanpa memikirkan persekitaran realiti kehidupan aku. Akhirnya aku sukar mengadaptasi sesuatu suasana baru. Aku gah mempertahankan apa yang aku percayai tanpa kompromi.


Namun aku sedar. Apa yang kita impikan kadang-kadang terhalang dengan realiti persekitaran kehidupan dan kita haruslah kuat untuk menerima apa yang ada ini seadaanya.


Sebenarnya aku ingin mengucapkan kepada diri aku sendiri,


"Bersyukurlah."

3 ulasan:

cimon berkata...

bro, lu sihat ke nie?

ayat tak bleyy blah!

hehehe (^v^)

LydSunshine berkata...

Jiwa kacau ke tu? Huhu....

FAZ berkata...

Sila dengar lagu Syukur daripada Altimet