Jumaat, 11 Mei 2012

Ulasan gig- Persembahan Akhir Nostalgia

Dah lama dalam kepala otak aku terfikir tentang acara ni. Nostalgia bukan nama baru dalam arena hardcore punk. Lirik dalam Bahasa Melayu. Pendek, ringkas, bermesej dan irama yang catchy sentiasa bermain dalam fikiran. Lirik-lirik positif berbentuk kesedaran dan motivasi menyebabkan ramai remaja seusia aku ketika itu ingin terus berada dalam scene hardcore punk. Kita rebel tetapi kita positif. Kita bukan anak jalanan yang kosong fikirannya. Begitulah agaknya waktu jiwa muda aku memberontak keras haha. Untuk show kali ini aku datang awal. Beranggapan akan ramai orang dan tak nak susah cari parking aku layankan je Padil untuk datang seawal pukul 3 dekat pukul 4. Sampai The Wall terus melepak di sofa dengan Uda-individu yang menguruskan The Wall. Bercerita isu-isu semasa, keganasan dan ketamakan dan macam-macam lagi sambil diiringi alunan lagu-lagu punkrock malar segar.Borak-punya borak punya borak sampai dekat pukul 6 masih tak start lagi. Sempat aku meround cari minuman dengan Padil. Sapik dari Tampin pula sibuk bercerita Recover dari Singapura tak dapat hadir. Hmmm..kecewa jugak. Baru nak tunjuk belang.

Kali ni show memang terbaik. Start lepas maghrib. Memang power dan SANGAT awal. Bermula dengan Hurricane. Sebuah band yang macam Converge. Berat, teknikal dan tak berapa nak laju sangat. Vokal dan dram dari bekas kumpulan Devilica. Ada dua tiga kerat je yang cuba buat onar. Selebihnya berdiri memerhati. Ada juga yang bawak isteri dengan anak sekali. Tapi aku rasa macam kurang sesuai untuk anak kecil hadir ke majlis berdesibel tinggi. Untuk mat gelabah macam aku sesekali lambat nak masuk stail macam tapi band ini memang tight. Kredit untuk drummer. Komitmen yang tinggi.

 Band kedua Langgar Lari. Aku tak berapa familiar dengan band thrash core ini dan tak pernah memiliki rilisan band ini. Tapi ini kali kedua aku melihat band ini beraksi. Thrash hardcore terus tepat ke muka. Dengan lagu hits Ku Pujuk-Pujuk Ku Bawa Lari yang pernah jadi anthem rumah sewa sewaktu ketika dahulu. Namun aku naik syeikh bila band ini membawakan lagu dari Makhlok Perosak bertajuk Hardcore Sudah mati. Lagu ini memang berhantu. Part sing a long memang rakus. Pada masa ini barulah terjengol muka-muka hardcore era lama. Dalam pada masa yang sama penulis zine Roots dan blog Redup Pemikiran tiba-tiba meluru melompat ke atas hadirin. Lengkap berjaket crust-punk dan rambut sikat tepi, malang sekali tengkok terkena stage ahaha. Adik-adik yang lahir pada tahun 90an terpaku sahaja dan tak dapat merasakan vibe ini. Cewah.

Selepas itu Second Combat mengambil alih pentas. Macam biasa, Ein dengan penerangan padat tentang band yang diraikan, Nostalgia. Menceritakan apa yang terkandung dalam lagu. Memang kita dahagakan persembahan begini. Bukan hanya memberikan satu hidangan muzik yang bertenaga tapi sarat dengan mesej serta penerangan. Ini sekali membuktikan scene hardcore punk itu juga merupakan satu lagi lapangan pendidikan yang tidak formal jauh dari apa yang tercatat dalam buku teks anda. Kali ini aku tak nampak dua band members. Arwith tak ada pergi Indonesia haha.

Habis persembahan Second Combat, Nostalgia ambil alih pentas. Ini persembahan akhir band yang memang Nostalgik. Boleh dikatakan aku membesar dengan muzik punk mereka. Aku berkenalan dengan Fadil pun sebab aku ternampak Fadil balik sekolah sambil pegang kaset Nostalgia-Teguh Berdiri. Sudah beberapa kali aku melihat kugiran ini beraksi. Vibe-nya tetap sama. Enerjinnya tetap menerjah. 19 buah lagu disampaikan dengan tanpa segan silu. Penerangan lagu, perkongsian pendapat dan pelbagai cerita disampaikan pada malam itu. Bahagian menyanyi beramai-ramai tak pernah gagal sejak dahulu lagi. Pernah aku terbaca di zine mana aku tak ingat, "Nostalgia memang band market. Letaklah Nostalgia, pasti full-house." lebih kurang begitu bunyinya. Memang penuh. Dan aku ada nampak rakan-rakan cina turut hadir. Tidak tahu sama ada mereka memang minat, sekadar memantau atau ada kepentingan lain. Lapang sikit kepala aku yang senak. Aku pulang sebelum persembahan tamat. Badan mula melekit, mata pun dah mengantuk. Drive sorang-sorang sejauh 35 kilometer untuk pulang ke rumah pada waktu malam bukanlah sesuatu yang fun.

sekian.







1 ulasan:

cimon berkata...

Jiwa kental siall!!!